Sunday, August 29, 2010

Ketua AMK : Lawan Chegubard Lawan!!

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Perebutan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) - sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka jelas minggu ini apabila salah seorang bakal calon mengumumkan pendiriannya Rabu ini.

Rafizi Ramli yang pernah berada dalam AMK beberapa tahun lalu dijadual membuat pengumuman mengenai pendirian rasmi beliau sehari selepas sambutan Hari Kemerdekaan.

“Pendirian muktamad, ya (pada Rabu ini)... pendirian untuk menawarkan diri bersama-sama barisan adalah muktamad, saya dan rakan-rakan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat minggu ini,” kata Rafizi kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Tetapi sudah tentu kita perlu peka kepada suara akar umbi yang akan dizahirkan melalui proses pencalonan di cabang-cabang,” tambah beliau.

Rafizi mengesahkan akan bertanding jawatan itu akhir minggu lalu.

Mengenai teras menawarkan diri tanding jawatan ketua AMK, Rafizi berkata, persoalan kepelbagaian pendekatan untuk mendekati pengundi muda yang dianggarkan 4.6 juta orang dan menjadi penentu keputusan pilihan raya umum ke-13 hendak diberi keutamaan menerusi kepimpinan baru.

“Saya dan rakan-rakan saya rasakan AMK perlukan imej dan pendekatan yang pelbagai iaitu keluar dari imej tradisional yang dikaitkan dengan AMK selama ini agar boleh memikat pengundi-pengundi muda yang buat masa ini belum membuat keputusan,” kata beliau.

Katanya, persoalan ‘capturing their imagination’ ini sangat penting dengan membawa isu-isu yang dekat dengan golongan muda ke arus nasional dan perdana.

“Banyak isu ini bukan isu tradisional yang biasa dikaitkan dengan AMK... sebab itu AMK perlukan perubahan pendekatan, agar lebih berorientasikan kepelbagaian dalam menarik minat pengundi muda,” katanya lagi kepada The Malaysian Insider.

Berdasarkan pengumuman rasmi Rabu ini, penyandang ketu AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin dipercayai akan berhadapan dengan saingan dua anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Seorang lagi ialah Badrul Hisham Shaharin.

Badrul Hisham dan Rafizi merupakan anggota MPP.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider sama ada akan mempertahankan jawatannya, Shamsul Iskandar berkata, beliau akan mengumumkan pendiriannya dalam seminggu ini.

“Saya sedang memikirkan... akan membuat pengumuman dalam seminggu ini,” kata beliau.

Shamsul Iskandar juga dijangka akan mengumumkan barisan gandingannya minggu depan.

Difahamkan, kemungkinan beliau, seorang peguam, akan bertanding mempertahankan kedudukannya adalah tinggi.

Pemilihan kali ini dilihat sengit di sebalik proses pengundian secara langsung melibatkan setiap ahli parti.

Badrul Hisham, pemimpin dari Negeri Sembilan, yang mesra dikenali sebagai “Chegubard” tidak mengumumkan secara terbuka sama ada akan bertanding jawatan tersebut ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun beliau yang disebut-sebut akan turut bertanding telah menyatakan hasrat itu di kalangan rakan dan penyokongnya.

Tinjauan The Malaysian Insider mendapati beliau telah secara tidak langsung melahirkan hasrat itu menerusi tulisan di blognya sejak beberapa hari lalu.

Malah, setakat ini beliau telah menulis dua ‘warkah’ bertajuk “Angin pemilihan makin terasa’ dan tiga lagi dijangka menyusul.

Dua lagi siri bertajuk “Siapa ‘chai’ che’GuBard ?” dan “Apa perancangan terhadap AMK? dan “Tuduhan che’GuBard tidak punya idealisma?” akan menyusul.

Dalam siri pertama, Badrul Hisham berkata, “dengan ini menyatakan pendirian dengan tegas tidak akan membuat pengumuman bertanding.”

“Kita memilih antara yang terbaik dalam keluarga, kenapa perlu heboh-heboh urusan dalam rumah kita.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan media arus perdana tidak sama sekali menyebelahi kita dan sentiasa umpama serigala lapar bersedia memanipulasi apa juga cerita kecil untuk menyerang parti,” katanya.

Dalam siri kedua pula, Badrul Hisham berkata, “Chegubard sudah menegaskan sebelum ini tidak akan umum bertanding.”

“Biar ‘adik-beradik’ anak muda dalam parti memutuskan,” kata Ketua Cabang Rembau ini.

Katanya, tumpuan harus diberi kepada persiapan jentera parti dalam mendepani pilihan raya khususnya di Sarawak yang terlalu hampir.

“Chegubard baru sahaja pulang dari Sarawak, negeri yang cukup berpotensi tetapi tidak ada cabang ‘rasmi’ AMK yang boleh bermesyuarat. Kenapa ini berlaku?” katanya.

Badrul Hisham berkata, jika “Chegubard hanya memberikan tumpuan berkempen pemilihan parti, tentu Sarawak tak termasuk medan kempen tetapi kerana melihat parti di sana perlu dibantu untuk mendepani pilihan raya, maka Sarawak tetap dikunjungi dan dalam masa terdekat Chegubard sudah berjanji dengan Abang Zul, calon di Saribas yang tewas 94 undi dalam pilihan raya yang lepas untuk turun membantu di tempatnya.”

“Begitulah kita bekerja walaupun Chegubard tidak berada dalam kerangka AMK, namun semangat gerakan muda itu menyebabkan kita terus menerobos segala pintu membawa pembaharuan dalam perlawan anak muda,” katanya.

Rafizi pernah meletakkan jawatan sebagai anggota MPP dan exco AMK pada 2004.

Rafizi dijangka digandingkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves Amiruddin Shari, yang kini merupakan Naib Ketua.

Amiruddin akan bertanding kerusi Timbalan Ketua AMK.

Pengundian jawatan-jawatan peringkat pusat akan diadakan November ini.

Proses pencalonan peringkat bahagian sedang berlangsung.

No comments:

Post a Comment