Monday, August 30, 2010

PKR Pertimbang Rayuan, Tarikh Disegerakan

Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menimbang rayuan penggantungan  keahlian 12 pemimpin PKR Sabah secepat mungkin bagi memelihara proses keadilan dan ketelusan parti. 


Timbalan Presiden PKR, Syed Hussin Ali berkata mereka yang berjaya dalam rayuan masing-masing akan dibenarkan mengambil bahagian dalam pemilihan parti yang akan bermula bulan depan.  

Seramai 12 pemimpin PKR berkenaan digantung keahlian untuk setahun kerana pembabitan mereka dalam pendaftaran sebuah parti baru dikenali sebagai parti Cinta Malaysia pada tahun lalu.

Syed Hussin berkata Majlis Pimpinan Pusat PKR menerima cadangan Jawatankuasa Displin untuk menggantung mereka, namun memberi ruang untuk mereka merayu keputusan itu.

"Digalakkan 12 individu itu merayu dan pertimbangan terhadap rayuan itu akan disegerakan memandangkan PKR sedang menghadapi pemilihan. Ini penting bagi mengetahui sama ada mereka ini boleh menyertai pemilihan atau tidak.

"Jadi, apa yang dihebohkan dalam web ini adalah tidak benar sama sekali," katanya kepada TV Selangor.

Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan kononya MPP parti membuat keputusan untuk membatalkan hukuman penggantungan ke atas Sembilan daripada 12 pemimpin berkenaan.

Keputusan rayuan itu menjadi penentu samada mereka layak untuk bertanding dalam pemilihan parti yang dijadual bermula pada 18 September.

Tiga daripada 12 yang digantung itu dilaporkan bertanding jawatan ketua cabang Sepanggar, Putatan dan Keningau.

No comments:

Post a Comment