Thursday, October 14, 2010

Memilih antara yang kurang buruk

Meskipun PKR dilihat sebagai "parti harapan masa depan", namun pemilihan parti ini agak mengecewakan pada peringkat awal, khususnya jawatan Timbalan Presiden. Ini kerana pertandingan ini disarat dengan serangan peribadi, dan tidak menampilkan perdebatan halatuju atau dasar. Malah, terdapat anggota partinya yang mengeluh bahawa ia bagaikan pemilihan antara dua biji epal yang busuk, bezanya hanya yang busuk dengan yang kurang busuk.
Ia sememangnya membosankan. Zaid Ibrahim asyik dengan kritikannya yang menghala ke arah pemimpin partinya. Bermula dengan kenyataan untuk memberi laluan kepada Khalid Ibrahim seandainya beliau bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, kemudian kenyataan itu ditarik balik. Tidak cukup dengan itu, malah Zaid dengan sinis mendakwa bilangan pencalonan Khalid lebih kurang berbanding pencalonan yang diperolehi dirinya. Belum lagi babak ini melabuh tirai, Zaid pula menyatakan sokongan agar Nurul Izzah Anwar bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden.
Pada hakikatnya, Zaid mencungkil saraf anggota partinya apabila menerima satu wawancara bersama Mingguan Malaysia. Seandainya diteliti, mereka yang berada di kem Zaid sebenarnya orang yang tidak berpuas hati dengan Azmin Ali, misalnya Jeffrey Kitingan yang tidak berpuas hati kerana pelantikan Tamrin Zaini sebagai Pengerusi Perhubungan Sabah; ahli parlimen Padang Serai N. Gopalakrishnan dan sebagainya.
Dan kita tidak lupa puak "korporat", termasuk Soh Chee Wen, yang seketika dahulu rapat dengan bekas Presiden MCA Ling Liong Sik. Kebetulan bekas Pengarah Komunikasi, Jonson Chong telah menyatakan sokongannya terhadap Zaid, dan sudi membantu Zaid untuk berkempen. Zaid pernah mengeluarkan kenyataan untuk membela Soh Chee Wen, yang disifatkannya rapat dengan Anwar Ibrahim seketika dahulu. Apabila tindak-tanduk ini dikaitkan bersama, ia akan memberi persepsi bahawa wujudnya kerjasama yang terjalin antara kedua-dua puak ini.
Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview, ketika mengulas nama Soh Chee Wen (gambar kanan), Syed Husin Ali memberi bayangan, "Baca Free Malaysia Today, kaji siapa di belakangnya... Adakah ia menganggap parti sebagai kawan, atau lawan?"
Zaid dijangka meraih sokongan daripada kelas menengah dan penduduk bandar. Mereka memberi penghormatan kepada Zaid Ibrahim yang meletak jawatan Menteri Jabatan Perdana Menteri ketika kerajaan Barisan Nasional menangkap wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008.
Namun demikian, Zaid Ibrahim yang pada mulanya mendapat sokongan mereka yang tidak suka Azmin Ali, dikatakan kehilangan sokongan itu setelah menunjukkan sikap yang dianggap terlalu angkuh. Malah, sesetengah anggota yang sedar sikap Soh Chee Wen, juga dipercayai tidak lagi menaruh harapan kepadanya

No comments:

Post a Comment