Wednesday, October 6, 2010

Pemilihan KEADILAN 2010: Satu Pandangan Berkenaan Pemilihan Timbalan Presiden KEADILAN



pemilihan-PKRPemilihan 2010 nyata semakin menarik perhatian bukan sahaja ahli KEADILAN malahan rakyat Malaysia secara keseluruhanya terutama kerana kali ini sistem Satu Ahli Satu Undi akan dan telah dilaksanakan.

Semua 400,000 ahli KEADILAN kini boleh menentukan halatuju parti tersebut dengan memilih barisan kepimpinan yang mereka inginkan baik di Cabang mahupun di peringkat tertinggi parti.

Ini suatu peluang kepada ahli untuk menjadi pemangkin politik baru serta menentukan arah perjuangan KEADILAN terutama jika ingin melihat hasrat menuju ke Putrajaya bersama Pakatan Rakyat tercapai.

Setakat berakhirnya Mesyuarat Agung Tahunan Cabang pada 3 Oktober 2010, telah tiga tokoh KEADILAN menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden bagi Pemilihan 2010.

Bermula dengan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Zaid Ibrahim, disusuli pengumuman Naib Presiden, Azmin Ali di Sabah serta terbaru penawaran diri seorang lagi Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub menerusi sidang medianya di Kampung Baru.

Dua calon lagi yang telah layak iaitu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengarah Strategik KEADILAN, Tian Chua nampaknya belum menyatakan hasrat secara rasmi sama ada untuk turut memeriahkan pemilihan Timbalan Presiden atau tidak.

Pemilihan Timbalan Presiden kali ini adalah amat penting kepada KEADILAN dalam menjamin kesinambungan kepimpinannya.

Persoalan tentang pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal terjawab menerusi pemilihan kali ini. Ini kerana tokoh yang menang dan dilantik sebagai Timbalan Presiden KEADILAN akan memikul tanggungjawab yang amat berat kerana untuk tugas utama untuk tiga tahun mendatang ini adalah untuk membawa KEADILAN ke arah yang lebih kukuh serta perlu sentiasa bersedia untuk menjadi pengganti Ketua Umum serta Presiden parti.

Ini tentunya bukan satu tugas yang mudah. Semestinya beliau akan dibandingkan dengan Anwar. Perbandingan ini tentunya berlaku dalam semua segi terutama dari segi personalitinya, idealistiknya malah dalam semua aspek. Bukan mudah untuk menggantikan pemimpin yang sebegitu. Lebih mudah menjadi pengganti kepada pengganti tokoh besar itu.

Jika dilihat kepada calon-calon yang telah menawarkan diri, nyata mereka semua mempunyai kelebihan dan keupayaan masing-masing. Andainya pencalonan dari 204 Cabang yang MATC telah disahkan menjadi kayu ukur, sudah tentu Azmin Ali menjadi pilihan utama kerana beliau jauhmendahului dengan 102 pencalonan diikuti Datuk Zaid Ibrahim (33 pencalonan) serta Mustaffa Kamil Ayub (17 pencalonan).

Tan Sri Khalid Ibrahim dan Tian Chua yang belum menawarkan diri sebagai calon masing-masing mendapat 4 dan 5 pencalonan.  Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah yang mendapat 3 pencalonan tidak mungkin bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden. Fuziah Salleh serta Nurul Izzah Anwar pula mendapat 1 pencalonan dan tidak melepas had 2 pencalonan yang ditetapkan.

Pemilihan 2010 jelas berbeza. Tiada lagi pucuk kepimpinan ditentukan oleh perwakilan. Semua 400,000 ahli KEADILAN kali ini adalah perwakilan. Ini tentu lebih merumitkan namun sangat baik dari segi amalan demokrasi tulen selain dapat meminimakan politik wang.

Amat sukar meramalkan kehendak ahli secara individu. Pencalonan mungkin boleh dijadikan petunjuk tetapi tidak kayu ukur yang baik. Jika MATC menjadi ukuran, situasi berbeza dapat dilihat. Umpamanya, Azmin Ali telah dicalonkan sebagai Timbalan Presiden oleh Cabang Petrajaya dengan menewaskan Mustaffa Kamil Ayub tetapi dengan kelebihan hanya satu undi di mana ahli yang turun mengundi adalah seramai 117 orang.
Cabang Putrajaya menyaksikan Mustaffa Kamil Ayub telah dipilih oleh ahli Cabang berkenaan untuk bertanding Timbalan Presiden. Jadi undi secara individu di sini sekiranya kedua-dua Cabang digabungkan tentunya memenangkan Mustaffa Kamil Ayub.

Tetapi jika di corak pengundian ini di Selangor di mana terdapat 150,000 ahli KEADILAN situasi tentunya amat berbeza. Tambahan pula Azmin Ali adalah Pengerusi Pimpinan Negeri Selangor.

Jumlah keluar mengundi di Selangor ternyata mengejutkan dan tidak konsisten. Cabang Kapar yang mempunyai keanggotaan seramai 5,000 anggota menyaksikan lebih 4,000 keluar mengundi. Lebih 2,000 dari 7,000 ahli KEADILAN Cabang Hulu Selangor pula keluar mengundi bagi MATC.

Namun harus diberi perhatian, dari lebih 2,000 yang mengundi hanya sekitar 25 orang hadir dalam MATC. Cabang Selayang pula mempunyai keahlian lebih 5,000 yang mana 970 keluar mengundi  mempunyai situasi berbeza dalam mencalonkan tokoh pilihan mereka.

Amat menarik 250 ahli yang hadir untuk MATC sebulat suara memilih Azmin Ali.  Cabang Gombak sendiri menyaksikan hanya kurang 300 ahli keluar mengundi dan tentunya yang hadir MATC adalah lebih kecil. Ini bermakna sukar meramal peluang jika berdasarkan undi angkat tangan di MATC kerana hanya sebahagian kecil yang keluar mengundi telah hadir ke MATC.

Keadaan juga berbeza di Cabang Tanjung Karang, hanya 80 ahli hadir mengundi dari keseluruhan 2,435 ahli KEADILAN di sana. Ini tentunya sukar dijangka.

Cabang-cabang di Perak juga membuat keputusan yang mengejutkan. Keupayaan Mustaffa Kamil Ayub mendapat sebahagian besar pencalonan beliau dari Perak telah dijangka atas kapasiti beliau sebagai anak Perak dan Pengerusi Pimpinan Negeri.

Azmin Ali pula berjaya mendapat 5 pencalonan dari Perak. Kekalahan Mustaffa Kamil di peringkat Cabang Pasir Salak itu tidak juga akan menjadi petunjuk beliau tidak mendapat sokongan dari sana untuk jawatan Timbalan Presiden. Malah, Cabang Pasir Salak yang tidak memilih beliau sebagai Ketua Cabang mencalonkannya pula untuk jawatan Timbalan Presiden.

Sabah yang dianggap kubu kuat Datuk Zaid Ibrahim juga membuat kejutan dengan majoriti daripada Cabang mencalonkan Azmin Ali.

Memetik maklumat dari ucapan Datuk Johari Abdul sewaktu merasmikan MATC Selayang pada 3 Oktober 2010, kadar turun mengundi ahli secara purata adalah 25 peratus. Bagi sebuah parti baru yang bersifat nasional, ia satu jumlah yang agak tinggi iaitu satu perempat dari keseluruhan jumlah keahlian.

Ini juga bermakna kemungkinan Timbalan Presiden dan barisan pimpinan tertinggi KEADILAN ditentukan oleh sekitar 100,000 ahli. Ini satu jumlah yang munasabah jika dibandingkan dengan amalan pengundian perwakilan yang biasanya sekitar 2,500 perwakilan.

Sekiranya separuh yang datang daripada 25 peratus itu yang hadir, jumlahnya masih banyak iaitu 50,000 undi. Ia satu petanda yang amat baik dalam usaha membuktikan amalan demokrasi tulen dan politik baru yang selama ini dilaungkan oleh KEADILAN.

Jika sasaran 25 peratus ini menjadi kenyataan bagi Pemilihan Tertinggi, pertandingan Timbalan Presiden sekiranya dilihat mengikut negeri akan memperlihatkan situasi seperti berikut:
Negeri                       Keahlian          25 %
Selangor                  150,000            37,000
Sabah                        65,000            16,250
Pulau Pinang             55,000            13,750
Perak                         40,000            10,000
Lain-lain Negeri         90,000             22,500
Keseluruhan            400,000          99,500

Jika kekuatan calon-calon Timbalan Presiden dilihat mengikut negeri yang kuat menyokong mereka dengan andaian 60 peratus undi akan diperolehi, Azmin Ali akan memperolehi 22,500 di Selangor, Datuk Zaid Ibrahim akan mendapat 9,750 undi dari Sabah manakala Mustaffa Kamil Ayub pula dijangka diundi oleh 6,000 ahli KEADILAN di Perak. Ini tentunya satu kelebihan buat Azmin Ali dan juga konsisten dengan jumlah pencalonan yang diperolehinya.

Azmin Ali tentunya calon yang dijangka menang. Malah, awal-awal lagi beliau mendapat sokongan dari majoriti Yang Berhormat baik ahli Parlimen mahupun ADUN KEADILAN hingga membuat dua sidang akhbar khas untuk itu.

Namun, perkiraan perlu dibuat adakah sokongan YB-YB ini akan diikuti oleh ahli-ahli di akar umbi? Secara dasar, YB-YB KEADILAN ramai yang datang dari atas, bukan bermula sebagai ahli di peringkat Ranting mahupun Cabang.

Ini perlu diakui oleh semua kerana bermulanya KEADILAN bukan menerusi proses biasa. Ia bukan awalnya disusun  dari Ranting atau dulunya Cawangan atau Daerah Mengundi. Ia bermula hasil respon isu-isu nasional yang merentasi semua itu. Kemunculan tokoh-tokoh ini adalah kerana personaliti dan kekuatan individu.

Hanya Pemilihan kali ini baru menyaksikan pimpinan-pimpinan tertinggi menawarkan diri untuk bertanding di MATC. Zaid Ibrahim adalah satu contoh nyata. Sebelum ini ramai pemimpin tertinggi yang berjawatan peringkat Cabang menerusi proses lantikan.

Tentunya juga ahli-ahli akar umbi memilih berdasarkan pemerhatian mereka kerana proses politik dari bawah ke atas masih baru dalam KEADILAN. Inilah kelebihan Satu Ahli Satu Undi.

Walaun bagaimanapun, komposisi kaum dalam KEADILAN harus juga diambil perkiraan. Kira-kira 100,000 ahli KEADILAN merupakan kaum India yang sebahagian besar berada di Selangor.

Cabang Hulu Selangor umpamanya yang mempunyai 7,000 lebih ahli yang 80 peratus adalah kaum India. Malahan, Cabang Hulu Selangor telah mencalonkan Zaid Ibrahim untuk jawatan Timbalan Presiden atas faktor dan sentimen bahawa beliau adalah calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor baru-baru ini.

Faktor “anak Kelantan” Datuk Zaid Ibrahim juga bukan satu kelebihan untuk beliau mengharapkan undi dari ahli-ahli KEADILAN di Kelantan kerana peratus keluar mengundi sewaktu pemilihan-pemilihan Cabang negeri Kelantan amat rendah sekali.

Jawatan sebagai Pengerusi pimpinan Wilayah Persekutuan juga bukan satu kelebihan kerana beliau baru sahaja menggalas jawatan tersebut. Tambahan pula Pengerusi yang lama adalah Azmin Ali.

Keadaan yang sama berlaku di Sabah. Walaupun Azmin Ali pernah mengemudi Sabah, tempoh kepimpinan beliau agak singkat untuk mendapatkan sokongan akar umbi di sana.

Tambahan pula Datuk Zaid Ibrahim mempunyai kelebihan sokongan terutama oleh barisan kepimpinan sebelum ini.Mustaffa Kamil Ayub pula mungkin dapat menggunakan kelebihan sebagai Pengerusi Pimpinan Perak serta mantan Pengerusi Pimpinan Sarawak.

Kelebihan beliau juga adalah beliau bukan seorang Yang Berhormat. Ini memberi peluang untuk beliau kerap turun ke akar umbi atas kapasiti pelbagai biro yang diketuai beliau seperti SEHARUM, Biro Latihan, Biro Antarabangsa dan Akademi KEADILAN.

Pengalaman beliau sebagai mantan Setiausaha Agung KEADILAN juga boleh memberi kelebihan untuk beliau rapat dengan akar umbi. Apabila PERKASA cuba mengusik dengan memberi sokongan kepada beliau, nama beliau menjadi semakin dikenali.

Analisa ini juga akan berbeza andainya Tan Sri Khalid Ibrahim turut menawarkan diri untuk bertanding. Setakat ini beliau telah layak dan belum pula mengumumkan untuk tidak bertanding.

Sekiranya Tan Sri Khalid mengambil keputusan untuk bertanding tentunya undi di Selangor akan berpecah antara beliau dan Azmin Ali. Dalam pada itu, keadaan berbeza akan berlaku andainya Datuk Zaid Ibrahim pula mengotakan janji dengan menarik diri kerana semua maklum dengan kenyataan beliau bahawa akan mengundur diri dari bertanding sekiranya Tan Sri Khalid menawarkan diri.

Namun, semua ini adalah di atas kertas. Penentu sebenar adalah ahli-ahli KEADILAN yang datang mengundi pada antara 29 Oktober hingga 21 November ini. Ahli-ahli inilah juga menjadi penentu halatuju dan kesinambungan KEADILAN selepas ini.

Kebijaksanaan mereka yang mengundi inilah yang diperlukan. Mereka perlu bijak memilih pemimpin dengan berdasarkan pengalaman, kesetiaan, personaliti, kredibiliti serta keupayaan mereka.

Jangan sokongan undi didasarkan kerana calon itu popular dan terkenal semata-mata. Bagi pemimpin yang bertanding, kalah menang bukan penamatnya. Jangan hingga menjadi seperti istilah menang jadi arang kalah jadi abu.

Ia juga adalah permulaan untuk tugas berat dan lebih besar iaitu Pilihan Raya Umum ke-13. Menang tidak bererti sekiranya agenda yang lebih besar tidak tercapai seperti yang dihasratkan oleh KEADILAN. Sekali lagi keluarga besar KEADILAN menjadi penentu.

No comments:

Post a Comment