Friday, October 22, 2010

Zaid mengaku bukan calon kegemaran

JOHOR BAHRU 22 Okt. – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim berkata, walaupun beliau bukan calon kegemaran untuk pemilihan kepimpinan parti itu tetapi maklum balas yang diterima daripada ahli adalah baik dan memuaskan.
Beliau yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan berkata, antara tiga calon Timbalan Presiden PKR yang bertanding pada pemilihan November ini, hanya ada seorang calon yang diminati ramai.
“Saya bukan calon kegemaran ramai, calon kegemaran seorang sahaja, itu kamu (media) kena tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim, dia tahulah,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau mengulas peluangnya bertanding jawatan itu bersama dua lagi pencabarnya iaitu Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Ketua Perhubungan PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub.
Pemilihan bagi jawatan tertinggi parti tersebut diadakan pada 31 Oktober hingga 21 November, manakala kongres kebangsaan parti mulai 26 hingga 28 November.
Zaid berkata, beliau tidak kisah pertandingan itu melibatkan tiga penjuru dan menyerahkannya kepada pengundi, selain berharap proses pemilihan akan berjalan lancar.
“Pertandingan lima penjuru pun tidak apa, harap semuanya berjalan lancar dan jangan jadi macam (pemilihan) baru-baru ini (timbul masalah) dari segi pengundian, bilangan undi dan sebagainya,” katanya.
Ditanya adakah kedatangannya ke Johor hari ini untuk berkempen bagi meraih undi, beliau berkata, perjumpaan itu adalah pertemuan biasa kerana ahli PKR negeri mahu berjumpanya.
Sementara itu, ketika berucap, beliau menegur pihak tertentu dalam PKR yang memarahinya kerana tidak membela Anwar dalam kes tuduhan liwatnya yang masih berjalan di mahkamah.
“Bukan tak bela (Anwar), memang ada (bela), perhimpunan dah buat.., doa dah buat, Datuk Seri Anwar telah ada peguam, kita juga kena ingat perkara (isu) lain pun kita (perlu beri perhatian dan) jangan abaikan,” katanya.
Mengenai kegagalan PKR dan Parti Maju Sabah (SAPP) mencapai persetujuan untuk meletakkan calon di Parlimen Batu Sapi, Sabah, beliau kecewa dengan perkara itu.
Jelas beliau, sepatutnya PKR dan SAPP perlu memastikan salah satu daripada parti berkenaan bertanding satu lawan satu dengan Barisan Nasional bagi merebut kerusi Batu Sapi.

No comments:

Post a Comment