Friday, September 24, 2010

Azmin: Wan Azizah Pimpin Kami Hadapi Kekuatan Luar Biasa Umno-BN

SHAH ALAM 24 SEPT - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali membidas persepsi sesetengah pihak yang mendakwa Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah boneka yang ditarik-tarik talinya.
Azmin menegaskan kewibawaan Presiden PKR itu telah terbukti sepanjang sedekad mengemudi kepimpinan Parti Keadilan Nasional dan Parti Keadilan Rakyat.
Wan Azizah memikul kepimpinan politik sejak Parti Keadilan Nasional ditubuh pada 4 April 1999, selepas ibu negara bergolak dengan kebangkitan Reformasi.
Kepimpinan Wan Azizah tercabar dengan penangkapan 10 individu penting yang mewakili gerakan reformasi pada masa itu, termasuk Azmin Ali, Tian Chua dan bekas Ketua Angkatan Muda, Mohd Ezam Mohd Nor, namun itu tidak menghalangnya dari membentuk Parti Keadilan Rakyat bersama-sama Parti Rakyat Malaysia pada 2003.
Meskipun diasak, Wan Azizah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh tiga kali berturut-turut sejak PRU 1999 hingga PRU 2008.
Azmin berkata kewibawan Wan Azizah dalam memimpin mereka ketika parti itu menghadapi kekuatan luar biasa Umno-BN tidak boleh disangkal sama-sekali.
"Jangan memandang rendah kebolehan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti kerana beliau adalah ketua kami ketika parti ini baru berkembang," kata Azmin.
"Beliau (Wan Azizah) mempunyai kekuatan tersendiri berbeza dengan Anwar," tegas beliau lagi.
Beliau berdukacita dengan persepsi jahat yang dilontarkan sesetengah pihak, namun Azmin menjelaskan kesetiaan dan rasa hormatnya pada Wan Azizah dan keluarga tidak pernah berubah selama 26 tahun berkhidmat untuk Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.
"Saya berharap tiada pihak yang merendah- rendahkan kemampuan wanita pertama yang menjadi presiden parti dan ketua pembangkang di negara ini. Beliau ada soft power. Beliau menjadi susuk penyatu dalam parti. Beliaulah ketua kami ketika kami menghadapi kekuatan luar biasa UMNO. Hanya ketika sekarang kita boleh berkepak sedikit," jelas Azmin.
Menurut Azmin, beliau tidak perlu mengisytiharkan sokongan yang tidak berbelah bagi pada Presiden PKR itu kerana perkara itu telah tergambar melalui perkhidmatan lebih sepuluh tahun sebagai naib presiden.
"Saya tidak perlu isytihar kesetiaan pada presiden kerana saya telah berkhidmat dengannya sebagai naib presiden lebih daripada 10 tahun," ujar Azmin.
Setelah 78 cabang bermesyuarat setakat ini, Azmin mendahului dengan 43 pencalonan, Zaid mendapat 21 pencalonan, manakala seorang lagi naib presiden Mustaffa Kamil Ayub pula mendapat 10 pencalonan.
Situasi ini menjadikan Zaid pencabar utamanya merebut jawatan nombor dua dalam Parti Keadilan itu.
Azmin berkata Datuk Zaid Ibrahim mempunyai peranan penting dalam parti, dan memberi jaminan sekiranya beliau menang dalam pertandingan merebut jawatan nombor dua parti itu, masih ada tempat untuk pesaing utamanya.
"Percayalah, sekiranya saya diterima oleh anggota (PKR) sebagai timbalan presiden, Datuk Zaid juga akan diberikan peranan penting untuk meneruskan khidmat beliau dalam PKR, untuk mengukuhkan parti, (dan) menyediakan parti untuk menyertai pilihan raya yang akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment