Thursday, September 23, 2010

Syed Husin: Saya Tak Akan Layan

SHAH ALAM 23 SEPT: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali berkata beliau tidak akan melayan sebarang kenyataan Zaid Ibrahim terhadapnya, selepas bekas Menteri Undang-undang itu melabelkan beliau sebagai nyanyu yang bermaksud merepek.
Zaid juga dilaporkan menuduh Syed Husin sebagai "nyanyuk" kerana kononnya memperkecilkan peranan beliau dalam Pakatan Rakyat.
Zaid kemudian menafikan mengguna ungkapan itu dan berkata apa yang dimaksudkannya ialah Syed Husin adalah nyanyu dan bukan nyanyuk. Kedua-dua kenyataan Zaid yang melabelkan Syed Husin nyanyuk dan nyanyu disiarkan oleh portal Free Malaysia Today.
Zaid adalah antara pencabar untuk jawatan Timbalan Presiden PKR yang akan dilepaskan oleh Syed Husin pada pemilihan PKR November depan.
Syed Husin memberitahu TV Selangor, beliau tidak akan memberikan sebarang reaksi kepada tuduhan Zaid ataupun penjelasan yang diberikan oleh Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu.
"Dia (Zaid) sentiasa (beri kenyataan) berubah-ubah. Biarlah apa alasan yang dia hendak bagi. Tidak mengapa," kata Syed Husin yang berkecimpung dalam politik untuk lebih lima dekad.
Dalam pada itu Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa mendesak Zaid menarik balik kenyataan beliau terhadap Syed Husin yang disiarkan oleh portal Free Malaysia Today (FMT).
Kenyataan Zaid melabelkan Timbalan Presiden PKR itu sebagai 'nyanyu' atau 'nyanyuk' adalah kritikan peribadi yang harus dielak dalam keghairahan mengejar jawatan dalam parti pada pemilihan November depan.
"Zaid Ibrahim harus menarik balik kenyataan tersebut sama ada 'nyanyu' atau 'nyanyuk' kerana mempunyai makna dan maksud yang lebih kurang sama yang  memperlihatkan seolah-olah Syed Husin tidak diperlukan dan jasa dan pengorbanan beliau dinafikan sebegitu sahaja," tegas beliau.
Fariz juga menyatakakan kekesalan beliau terhadap laman portal FMT dan sesetengah penulis blog yang dilihat cenderung ke arah menyerang pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.
Akhbar The Star sebelum ini melaporkan bahawa FMT dibiayai oleh jutawan Soh Chee Wen yang dilihat sebagai penggerak utama kempen Zaid untuk meraih jawatan timbalan presiden PKR.
"Kita melihat ini merupakan satu tindakan terdesak oleh pembiaya FMT yang sanggup mempergunakan media bagi menyerang parti dan kepimpinan parti dengan fakta yang menyimpang dan ianya bersifat murahan," jelas Fariz lagi.

No comments:

Post a Comment