Tuesday, September 28, 2010

Syor Pecat Jika Ganggu Pemilihan PKR

DAMANSARA 29 SEPT: Ahli parti yang didapati menganggu kelancaran proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dicadang untuk dikenakan tindakan disiplin termasuk dipecat, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Dr Molly Cheah.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan sedemikian terhadap mereka yang terbukti melakukan kekerasan atau salah laku lain termasuk beli undi.

“Kami akan mempertimbangkan laporan dari ahli serta laporan daripada kakitangan sekretariat dan sukarelawan sebelum mengambil apa-apa tindakan,” katanya.

Menegaskan JPP bertanggungjawab mengawasi pelaksanaan pemilihan dalaman PKR peringkat cabang dan kebangsaan, Dr Molly berkata, JPP juga tidak teragak-agak untuk membatal keputusan pemilihan jika mendapati proses berkenaan diganggu.

“Ia bukan sahaja berkaitan dengan aduan dan bantahan pemilihan di peringkat cabang tetapi juga selepas pemilihan berlangsung,” katanya.

Beliau juga meminta pemimpin dan ahli parti yang menghadapi masalah dengan proses pemilihan perlu mematuhi prosedur dan memaklumkan JPP, bukannya menggunakan saluran media massa.

Menyatakan sebanyak 166 cabang selesai mengadakan mesyuarat tahunan dan proses pemilihan, Dr Molly berkata, JPP mendapati kebanyakan pemilihan cabang  berjalan lancar dan teratur.

No comments:

Post a Comment