Thursday, September 23, 2010

Nurul Izzah tawar diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden KEADILAN

Atas semangat demokrasi dan reformasi, saya ingin mengumumkan kesediaan bertanding jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.
Saya bersyukur dan terharu atas pencalonan yang diterima dari cabang-cabang dan saya ucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan.  Saya gembira sekali kerana Suara Ahli hari ini menjadi Suara Hati saya dengan kesediaan saya mengambil peluang untuk memikul tanggungjawab dalam parti.
Saya juga ingin menjelaskan yang saya tidak akan mengisytiharkan sokongan kepada mana-mana calon kerana mereka bebas untuk membuat pencalonan dan saya juga bertanggungjawab untuk menghormati pilihan mereka.
Saya adalah antara mereka yang bertuah kerana dapat menjadi saksi dan terlibat dalam gerakan Reformasi 12 tahun lalu dan kini menyaksikan pencapaian Keadilan hari ini.
Saya percaya pemilihan parti tahun ini akan menjadi titik perubahan bagi memperkasakan parti dan mendekatkannya dengan nadi dan semangat rakyat demi mewujudkan Malaysia Yang Lebih Baik.
Saya (Nurul Izzah, gambar kanan) juga menyedari bahawa pertandingan ini adalah persaingan adik-beradik dalam keluarga Keadilan.
Percayalah, ahli-ahli parti akan memilih pimpinan berdasarkan kepada wawasan calon, idea dan komitmen kepada nilai-nilai parti dan matlamat perjuangan untuk Malaysia yang lebih baik dan bukannya setakat pertandingan personaliti.
Hargailah sumbangan pimpinan daripada pelbagai peringkat, pengorbanan mereka dalam membentuk gerakan Reformasi kepada sebuah parti politik yang akan mentadbir negara ini bersama-sama rakan-rakan dalam Pakatan.
Yakinilah bahawa setiap pimpinan dipandu oleh kiblat akhlak mereka untuk melakukan yang terbaik, walaupun dalam keadaan sukar demi kebaikan bersama.
Sesungguhnya setiap ahli berkongsi aspirasi yang sama dan mempunyai niat baik dalam mencapai matlamat perjuangan.
Segala persamaan yang dimiliki ini sepatutnya memperkuatkan kita dan bukan sebaliknya.
Selesai sahaja pemilihan, bersatulah kita dan terus sahaja bekerja dengan pimpinan yang dipilih dan rakan-rakan Pakatan dalam membentuk halatuju dengan prinsip-prinsip dan rancangan untuk Malaysia yang lebih baik.
Akhir kata, saya yakin masih belum terlambat untuk pemilihan parti dijalankan dengan adil dan bebas, seperti mana seruan kita supaya kerajaan melakukan yang sama.
Inilah ujian integriti kita dan kewibawaan sebagai pengasas Pakatan Rakyat untuk menunjukkan kita mampu bersikap telus, dan bertanggungjawab.
Ahli-ahli parti, rakan-rakan dalam Pakatan dan seluruh rakyat Malaysia akan menilai kita tentang bagaimana kita mendukung prinsip-prinsip demokrasi dalam pemilihan parti.
Marilah kita menyahut seruan demokrasi dan tidak mengkhianati harapan rakyat dan janji kita untuk membentuk Malaysia yang lebih baik.
Janganlah berfikiran singkat, mementingkan diri sendiri dan sampai matlamat menghalalkan cara ketika berkempen.
Berkempenlah dengan penuh etika ketika mencari mandat daripada ahli-ahli.
Sebagai tanda tanggungjawab bersama, demi masa depan negara, saya juga mencadangkan semua calon-calon supaya menandatangani secara terbuka "Deklarasi Kempen Adil dan Bebas" minggu depan bagi menggalakkan dan melindungi matlamat dan wawasan kita untuk Malaysia yang benar-benar demokratik.
Saya percaya parti ini adalah penentu masa depan negara.
Di sinilah bermulanya titik perubahan parti.
Terima kasih.
*Kenyataan Nurul Izzah Anwar ketika mengumumkan dirinya untuk bertanding jawatan Naib Presidn PKR.

No comments:

Post a Comment