Saturday, September 18, 2010

Pamer Kebertanggungjawaban, Seluruh Mata Tertumpu Pada Pemilihan PKR

SHAH ALAM 18 SEPT: Calon bagi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menunjukkan kematangan dan kebertanggungjawaban dalam pertandingan kerana seluruh mata tertumpu terhadap proses pemilihan parti ini.


"Seluruh warga negara ini kini menyaksikan bagaimana kita akan berjaya melaksanakan demokrasi tulen di dalam parti, kerana ini akan dijadikan petunjuk cara kita akan mentadbi negara kelak," kata Ahli Parlimen Lembah pantai, Nurul Izzah Anwar.

Dalam kenyataan media, beliau berkata  sikap kepimpinan dan kebertanggungjawaban calon bertanding akan  membuktikan pemilihan PKR  bebas dan berdemokrasi.

Katanya, pemilihan yang sihat berlaku  apabila logik dan keberkesanan ideologi calon dinilai, bukannya personaliti dan kepopularan calon semata-mata kerana demokrasi tulen mengalakkan pandangan berbeza dan pertembungan idea .

"Jangan kita membuat silap dengan hanya melihat anpa menilai mesej yang dibawa. Intipati mesej patut dijadikan pertandingan, bukannya bentuk atau rupa mesej tersebut,” katanya yang gembira dengan pelaksanaan konsep satu ahli satu undi.

Beliau berkata, pemilihan parti kali ini wajar dilihat sebagai latihan bina diri di kalangan ahli parti, selain menjadi  kempen bina keyakinan untuk semua rakyat Malaysia.

"Setelah kita merentas cabaran dan kerecokan pilihanraya, kita perlu mengetepikan pangkat dan bersatu menerima calon yang baru dilantik untuk  membawa perubahan dan membina Malaysia yang lebih baik," katanya.

No comments:

Post a Comment