Saturday, September 18, 2010

Terkini : Azmin Ali terima 23 pencalonan, Zaid dan Mustafa Kamil turut layak tanding timbalan

Sebanyak 41 lagi cabang PKR akan mengadakan mesyuarat agung tahunannya, sekali gus mencalonkan nama untuk bertanding jawatan tertinggi parti itu bermula pagi ini.

Mesyuarat hari ini akan melibatkan negeri Perak (9 cabang), Pahang (7), Kelantan (4), Kedah (1), Negeri Sembilan (2), Perlis (3) dan Sabah (10).

Pencalonan yang bakal dibuat hari ini bakal menggambarkan trend awal kecenderungan cabang dalam memilih bakal pemimpin baru mereka dengan lebih jelas.

Tumpuan hari ini masih berlegar pada perebutan kerusi nombor dua parti yang dilihat bakal berlangsung sengit antara Naib Presiden Azmin Ali dan Penyelaras Pakatan Rakyat Zaid Ibrahim.

Selain kedua-dua tokoh heavyweight itu, seorang lagi naib presiden Mustafa Kamil Ayub juga difahamkan telah mendapat cukup pencalonan bagi melayakkannya turut bersaing.

Menurut peraturan pemilihan, setiap pihak yang ingin bertanding mestilah mendapat sekurang-kurangnya dua pencalonan daripada cabang.

Semalam, sembilan cabang telah membuat pencalonan untuk jawatan tertinggi parti di mana kedua-dua Azmin dan Zaid dilihat meraih sokongan hampir seimbang.

Manakala untuk jawatan presiden, penyandangnya Datuk Wan Azizah Wan Ismail membolot kesemua pencalonan daripada cabang-cabang di Kelantan dan Kedah semalam.

Jumlah rasmi pencalonan untuk mesyuarat hari kedua cabang dijangka diperolehi lewat petang ini.

No comments:

Post a Comment