Wednesday, September 22, 2010

Hormati Pemimpin Veteran- Azmin Ali

KUALA LUMPUR 22 SEPT: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali melahirkan rasa kesal atas tindakan ahli biro politik PKR, Datuk Zaid Ibrahim membidas Timbalan Presiden PKR, Syed Hussin Ali.

Portal Free Malaysia Today memetik Zaid menggelar Syed Hussin sebagai nyanyuk kerana mempertikaikan peranan Zaid dalam draf dasar Pakatan.

"Saya sedih kalau Datuk Zaid Ibrahim meneruskan serangan-serangan peribadi seperti ini," kata Azmin.

Zaid dilaporkan menggelar Syed Hussin dengan gelaran sedemikian, selepas tokoh reformasi itu mempersoalkan peranan Zaid menyatukan PKR, PAS, dan DAP untuk didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Azmin dan Zaid adalah persaing utama untuk jawatan timbalan presiden PKR yang tidak akan dipertahankan Syed Hussin pada pemilihan parti November ini.

Dalam wawancara dengan portal Malaysiakini, Syed Hussin antara lain berkata pengganti kepada jawatan beliau harus seorang yang menghadiri mesyuarat- mesyuarat parti dan tidak lantang mengkritik kepimpinan parti dari luar sahaja.

Azmin mengesahkan tidak ada pihak harus mempertikaikan jasa dan pengorbanan Syed Hussin kepada PKR.

"Syed Husin telah terlibat dan istiqamah dalam perjuangan menuntut keadilan lebih sedekad lalu, termasuk merengkok dalam penjara lebih lapan tahun,"

"Janganlah orang baru seperti Zaid ini menyinggung perasaan seorang pemimpin lama yang telah diuji dalam perjuangan ini," kata Azmin yang juga bekas setiausaha sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azmin menyeru semua pihak supaya bermuafakat dan berbincang penuh semangat kekeluargaan berhubung perkara itu.

"Kalau benar beliau mengeluarkan kenyataan itu, saya minta supaya beliau tarik balik dan tidak meneruskan tindakan seperti ini yang amat memalukan anggota dan pemimpin dalam PKR yang telah lama bersama Syed Husin Ali," katanya.

No comments:

Post a Comment