Sunday, September 19, 2010

Nik Nazmi Umum Tidak Tanding Jawatan Peringkat Nasional

DAMANSARA 19 SEPT: Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad tidak akan bertanding sebarang jawatan, baik kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mahupun peringkat Angkatan Muda Keadilan, pada pemilihan parti kali ini.

Beliau membuat keputusan itu kerana mempunyai tanggungjawab besar sebagai Pengarah Komuniasi PKR yang menjadi sebahagian daripada Biro Politik dan MPP, selain turut berperanan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Setia.
Sebaliknya, bekas Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor itu pada kenyataan media hari ini, hanya menawar diri untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR  Kelana Jaya.
Beliau juga merakam penghargaan kepada semua pihak yang bertanyakan jawatan yang bakal ditandingi sejak proses  Mesyuarat Agung Tahunan Cabang dan Mesyuarat Agung Tahunan AMK Cabang bermula Jumaat lalu.
“Saya menghargai sokongan rakan-rakan yang bertanyakan pendirian saya,” katanya.
Bagi pemilihan parti peringkat nasional, Nik Nazmi menyatakan sokongannya terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden, Mohamed Azmin Ali selaku Timbalan Presiden dan Rafizi Ramli serta  pasukan Generasi Reformasi dalam AMK.
Beliau juga menyatakan regunya di peringkat cabang ialah  bersama Syed Shahir Mohamud yang mempertahankan jawatan Ketua Cabang dan Keshminder Singh yang mempertahankan jawatan Naib Ketua Cabang.
Beliau juga mengingatkan semua calon bertanding supaya tidak terlalu ghairah hingga menghancurkan wadah yang dibina lebih sedekad lamanya dengan keringat, darah dan pengorbanan rakyat yang cintakan kebenaran.
“Pemilihan ini bukan sekadar membuka lembaran baru sejarah politik negara, tetapi membawa lebih ramai pemimpin lama dan baru yang berkebolehan, berwawasan dan setia pada agenda reformasi ke barisan hadapan,” katanya.
Nik Nazmi juga mengucapkan tahniah kepada PKR yang tidak pernah takut menongkah arus demi meneruskan agenda reformasi termasuk memperkenalkan sistem satu ahli satu undi bagi proses pemilihan parti.

No comments:

Post a Comment