Monday, September 27, 2010

Pemilihan 2010 Latihan Terbaik Persediaan Hadapi PRU-13

PETALING JAYA 27 Sept - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Saifuddin Nasution Ismail berkata proses Pemilihan 2010 yang dilaksanakan oleh semua 212 cabang diseluruh negara merupakan latihan dan pengalaman amat berguna untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
Saifuddin berkata hampir separuh daripada jumlah ahli KEADILAN seramai 450,000 ahli tidak pernah menyertai mana-mana parti politik.
"Maklum balas yang saya terima, ramai ahli  mengucapkan tahniah kepada pimpinan parti kerana memberi mereka pengalaman baru. Harus diingat daripada lebih 450,000 ahli KEADILAN saya dapati lebih separuh tidak pernah menyertai mana-mana parti politik, mereka tidak ada pengalaman kecuali sebahagian yang merupakan bekas aktivis Umno," kata Saifuddin pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana di sini pagi tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang menjelaskan semua proses yang dilalui ahli aprti semasa pemilihan berjalan adalah sama seperti mana yang berlaku ketika pilihan raya yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
"Semua proses yang berlangsung samada penamaan calon, mengisi borang, membuat bantahan dan mempamerkannya, mencetak kertas undi, proses kempen rumah ke rumah, logistik - ini mirip perjalanan pilihan raya bagi pengundi luar.
"Sudah tentulah apabila KEADILAN menjalankan pemilihan ini kita akan mendidik dan membiasakan ahli parti dengan proses pilihan raya sebenar di luar.
"Kalau dalam pemilihan parti ahli pergi juga rumah ke rumah, sebarkan risalah, mengadakan ceramah kecil-kecilan, logistiknya pula disediakan kenderaan untuk mengangkut pengundi, berani mengemukakan bantahan bila ada perkara yang ahli curiga kepada pengawas pemilihan," terang Saifuddin.
Tambah beliau pengalaman berguna yang ditimba oleh ahli dalam pemilihan kali akan membantu mereka lebih memahami fungsi dan gerak kerja pilihan raya dan seterusnya mampu memgukuhkan lagi jentera pilihan raya di kawasan masing-masing.
"Semuanya itu nanti apabila mereka mendepani pilihan raya umum mereka akan memanfaatkan pengalaman itu, ini adalah latihan awalan terbaik bagi mereka," kata Saifuddin lagi.

No comments:

Post a Comment