Friday, September 17, 2010

Pengerusi Tetap AMK juga tawar tanding naib presiden PKR

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Seorang lagi anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Mohd Yahya Mat Sahri mengumumkan mahu bertanding kerusi naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan kali ini.
Setakat semalam, beliau telah menerima satu pencalonan selepas sembilan cabang pertama — dari Kedah dan Kelantan — mengadakan mesyuarat agung tahunan dan membuat pencalonan.
Dua hari lalu, ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin mengumumkan mahu bertanding kerusi naib presiden.
“Pada bulan Syawal yang mulia bulan kita bermaaf-maafan dengan kelebihan bulan Syawal, saya hari ini ingin menyatakan hasrat untuk menerima cabaran daripada akar umbi untuk menawarkan diri bagi jawatan naib presiden PKR,” kata Pengerusi Tetap Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) ini.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini, Yahya berkata selepas memperoleh satu pencalonan daripada cabang Kuala Kedah, beliau menerima banyak panggilan telefon, SMS, emel dan catatan dalam laman Facebooknya menyatakan sokongan agar bertanding bagi jawatan naib presiden.
“Semalam saya berfikir dan pagi ini selepas solat subuh dalam perbincangan sarapan pagi bersama beberapa teman saya bersetuju dengan kehendak serta cadangan daripada anggota akar umbi.
“Hasrat menjawat jawatan ketiga tertinggi parti adalah semata-mata untuk bersama-sama bagi memperkuat serta memperkukuh parti bagi memenangi piliha nraya umum ke-13.
“Saya cukup yakin bahawa saya boleh memberi sumbangan yang lebih berkesan bagi menggerakkan jentera parti bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat bagi menawan Putrajaya,” kata beliau yang juga ketua cabang Tanjong Karang.
Yahya menambah, pengalamannya dalam politik semenjak gerakan reformasi 1998, terlibat dalam penubuhan parti secara langsung khususnya menjadi setiausaha PKR Selangor dan anggota MPP sejak 2001 akan membantu cabaran persaingan kerusi naib presiden.
Beliau dipilih menjadi Pengerusi Tetap AMK tiga tahun lalu.
Dua tahun lalu, beliau meletakkan jawatan sebagai pegawai tugas-tugas khas kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas alasan “hilang keyakinan terhadap kepemimpinannya”.

No comments:

Post a Comment