Sunday, September 19, 2010

Ketua AMK: Chegubard dahului, Rafizi anggap ‘kereta baru mula panas’

KUALA LUMPUR, 19 Sept — Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin yang kini mendahului pencalonan bagi jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) muncul pada debat julung kali bersama dua lagi pemimpin yang telah menawarkan diri untuk menyaingi kerusi itu kali ini. 
Rafizi Ramli dan Hasmi Hashim muncul di pentas yang sama pada Debat Calon AMK Pusat — sesi pengenalan calon yang pertama kali diperkenalkan sempena pemilihan kali ini. 
Ia berlangsung di Taiping, Perak malam tadi. Setakat semalam, sekitar 50 cabang atau bahagian PKR telah selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing. 
Status tidak rasmi menunjukkan Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” menerima pencalonan daripada Kangar, Lenggong, Parit Buntar, Bagan Serai, Bukit Gantang, Taiping, Indera Mahkota, Kuantan dan Gerik. Cabang Rembau diketuai Badrul Hisham mengadakan mesyuarat agung tahunan petang ini. 
Shamsul Iskandar Mohd Akin yang memutuskan untuk tidak mahu mempertahankan kerusi turut dicalonkan, termasuklah oleh cabang Arau, Lipis, Jerantut, Jempol, Kuala pilah, Siptitang, Libaran dan Sandakan. 
“Saya tidak mengikuti senarai pencalonan, tetapi apa yang penting saya mahu mendekati ahli parti setiap peringat agar memahami apa yang hendak saya bawa kepada ahli dan parti... saya mahu seramai mungkin ahli memahami apa yang saya dan kumpulan saya hendak tawarkan kepada AMK dan parti,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insiderhari ini. 
Mengenai pendirian bertanding jawatan ketua AMK, Badrul Hisham berkata, “saya memang belum membuat pengumuman rasmi menerusi media, tetapi telah menyatakan dalam pertemuan formal termasuk rapat umum Solidariti Angkatan Muda Malaysia baru-baru ini.” 
Beliau juga telah menyatakan pendiriannya menerusi blog sebelum ini. 
“Saya akan membuat pengumuman menerusi media dalam waktu terdekat yang sesuai, kemungkinan dalam masa satu dua minggu ini,” kata beliau. 
Pada Khamis lalu, Badrul Hisham mengumumkan akan bertanding kerusi ketua AMK yang kini kosong. Badrul Hisham yang juga Ketua PKR Rembau memaklumkan pendiriannya pada satu majlis yang dikenali sebagai rapat umum SAMM dekat Bandar Baru Bangi. Ketika ditanya, 
Badrul Hisham mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja Chang Lih Kang sebagai gandingannya bertanding jawatan timbalan ketua AMK pemilihan kali ini. 
Sebelum ini, Chang dinamakan sebagai salah seorang bakal calon kerusi ahli jawatankuasa dalam barisan Rafizi. Chang juga berkata akan mengumumkan pendiriannya selepas 8 Oktober ini. 
Dalam pada itu, Rafizi menyifatkan debat malam tadi sebagai proses awal yang “sihat” dalam pemilihan parti. 
“Debat malam tadi adalah satu pertemuan yang baik, saya melihat ia sebagai proses yang sangat sihat,” kata Rafizi, pemimpin pertama mengumumkan pendirian mahu bertanding kerusi ketua AMK. 
“Kesemua ketiga-tiga peserta menyampaikan hujah dengan mesra dan baik, walaupun ada yang mengharapkan debat panas,” kata beliau sambil mengharapkan lebih banyak forum seperti itu akan diadakan selepas ini. 
“Ini permulaan baru dalam arena politik negara ini,” katanya. Mengenai pencalonan, Rafizi berkata, “saya menyedari pencalonan Chegubard adalah lebih banyak, mengatasi saya... saya memang sudah menjangkakan Chegubard akan memperoleh lebih banyak pencalonan.” 
Bagaimanapun, kata Rafizi, beliau berpendapat berdasarkan sistem pemilihan langsung kali ini beliau tidak kisah dengan jumlah pencalonan. 
“Yang penting, sekarang saya sudah layak untuk bertanding... itu penting, dan selepas ini menyerahkan kepada ahli-ahli parti,” kata beliau lagi. 
“Jumlah pencalonan bukan faktor utama yang akan menentukan kemenangan. Perjalanan masih jauh, kita baru masuk kereta dan baru mula memandu... jadi, kita perlu berjalan jauh. “Masa, terlalu awal untuk mengaitkan pencalonan dengan kemenangan, saya akan menggunakan masa yang ada ini untuk mendekati seramai banyak ahli parti... ini kerana pemilihan akan dibuat oleh 400,000 ahli, ini sesuatu yang menarik dan mencabar,” kata beliau. 
Sebelum ini Hasmi berkata, beliau berasa bertanggungjawab untuk hadir pada debat tersebut. 
“Saya berasa bertanggungjawab hadir apabila cadangan mengadakan debat sedemikian datangnya daripada saya sendiri ketika kempen bertanding jawatan sama kira-kira tiga tahun lalu dalam Kongres AMK di Seremban. 
“Pentas berkenaan akan saya gunakan sebaiknnya untuk mengemukan agenda dan gagasan terbaik untuk masa depan AMK dan anak-anak muda Malaysia,” kata beliau yang juga Ketua PKR Parit Sulong. 
Dalam pada itu, cabang-cabang yang mengadakan mesyuarat agung tahunan hari ini ialah Paya Besar, Maran Kuala Krau, Temerloh, Bera, Bentong dan Rompin di Pahang manakala Tambun, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Batu Gajah, Kuala Kangsar, Beruas, Parit dan Kampar di Perak. 
Di Sabah cabang yang bermesyuarat ialah Tawau, Tuaran, Sepanggar, Kota Marudu Pensiangan, Putatan Kimanis, Tenom dan Beluran. Tangga Batu, Alor Gajah, Bukit Katil dan Masjid Tanah di Melaka manakala di Pulau Pinang ialah Kepala Batas, Tasek Gelogor Bagan, Permatang Pauh dan Batu Kawan. Cabang Rembau dan Tampin di Negeri Sembilan juga bermesyuarat hari ini.

No comments:

Post a Comment