
PETALING JAYA: Sebuah lagi cabang (bahagian) PKR yang menjadi tumpuan di Selangor ialah Kelana Jaya yang kini dipimpin oleh Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamad.
Menjelang pemilihan 2 Oktober depan, cabang Kelana Jaya kini sudah terbelah dua – satu kem Syed Shahir dan satu lagi pencabarnya Abdul Razak Jalil.
Abdul Razak akan menentang Syed Shahir bagi jawatan ketua cabang yang telah disandang oleh bekas orang kuat Parti Rakyat Malaysia (PRM) sejak 2007.
Manakala untuk jawatan timbalan ketua bahagian – Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia Nik Nazmi Ahmad dari kumpulan Syed Shahir akan mencabar Dr S Vickneswan dari kem Abdul Razak.
Penyandang timbalan ketua bahagian, Mohd Yusof Mohd Amin mengambil keputusan tidak bertanding.
Pertandingan juga berlaku untuk jawatan naib, ketua wanita dan ketua AMK, difahamkan satu lawan satu.
Ahli Parlimen Kelana Jaya Loh Gwo-Burne disebut-sebut bertanding jawatan timbalan ketua AMK.
Ketua AMK Kelana Jaya Halimey Abu Bakar berkata, PKR Kelana Jaya kini mempunyai kira-kira 5,900 ahli tetapi jumlah ranting (cawangan) tidak sampai 10.
Menurut Mohd Yusof yang menyokong Abdul Razak beliau menubuhkan satu pasukan baru yang diketuai calon ketua cabang itu untuk mengambilalih kepimpinan PKR Kelana Jaya.
Katanya, ahli PKR cabang ini meluat dengan terlalu banyak politiking. Sebelum ini sejak awal penubuhan pada 1999, semua orang berbangga dengan PKR Kelana Jaya kerana pemimpinnya yang berwibawa dan dikenali umum.
"KIni keadaan sudah menjadi sebaliknya, ada ahli PKR yang mengejek sesama sendiri. Nasihat saya sebagai timbalan ketua cabang juga tidak dihiraukan," katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau berkata, ahli mahu Kelana Jaya mempunyai pemimpin yang berkaliber seperti Datuk Kamarul Baharin Abas yang pernah menjadi ketua cabang (bahagian ketika itu) pada awal penubuhan PKR.
Katanya, pemimpin mesti mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ahli serta penyokong parti.
No comments:
Post a Comment