Saturday, September 11, 2010

Melerai Konflik Pemilihan Kepimpinan Parti KEADILAN 2010

Oleh Ahli KEADILAN 1999


Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sedang melalui fasa baru mencari kematangan demokrasi apabila Parti ini melalui proses pemilihan barisan kepimpinan Parti yang akan dilaksanakan tidak berapa lama lagi.
Meskipun proses ini baru bermula dan masih di tahap awalan, gejala-gejala yang tidak menyenangkan sudahpun menampakkan tanda-tandanya.
Sehubungan ini, adalah menjadi satu kewajipan bagi individu yang sayangkan parti ini untuk memberikan perhatian dan tindakan.
Ahli-ahli perlu bersama memberikan sumbangan agar proses yang dilalui ini akan berjalan sebaiknya demi kelangsungan perjuangan parti dalam menegakkan keadilan dan menjadi sandaran rakyat Malaysia seluruhnya pada masa depan.
Adalah diakui bahawa konflik yang berlaku akibat proses pemilihan kepimpinan parti ini tidak semestinya suatu yang merugikan.
Malah, jika ia berjaya dirungkai secara berkesan, ia akan membantu parti ini meningkatkan kualiti barisan yang akan mewarisi kepimpinan Parti ini untuk jangkamasa panjang.
Keupayaan menangani konlik ini yang akan menentukan sama ada konflik yang dilalui lebih banyak mendatangkan kebaikan atau keburukan kepada parti.
Ada berbagai manfaat akan akan didapati andai dapat dileraikan secara berkesan. Kesan positif ini ada kalanya berlaku tanpa kita sendiri jangkakan. Antara kesan positifnya adalah:
Meningkatkan persefahaman (Increased understanding):
Ini akan dicapai andainya dapat diwujudkan iklim perbincangan dan muafakat bagaimana setiap individu terdapat dapat mencapai matlamat peribadi masing-masing tanpa mengorbankan individu yang lain.
Meningkatkan  kejelekitan pasukan (Increased group cohesion):
Apabila konflik dapat di atasi secara efektif, rasa hormat sesame ahli akan mengukuh dan rasa saling percaya mempercayai dapat dimantapkan untuk bekerjasam secara jangka panjang.
Lebih Mengenal diri (Improved self-knowledge):
Konflik mendesak setiap individu menyemak matlamat diri secara lebih terperinci, mengenalpasti keutamaan, mempertajam fokus perjuangan dan mengukuhkan keberkesanan diri dalam bekerja.
Namun begitu, andai ia tidak ditangani secara berkesan, hasilnya mungkin akan memusnahkan parti. Matlamat peribadi yang saling berceranggah boleh membawa luka dan kebencian peribadi tanpa penghujung.
Perhubungan sesama ahli menjadi renggang.  Semangat kerja berpasukan juga akan luntur.  Mereka yang berpotensi dan berbakat menjadi terbuang sia-sia.  
Tuduh menuduh dan salah menyalahkan akan menjadi budaya.  Mereka yang menang mengambil kesempatan dan tewas sentiasa merasa tertekan dan terancam.
Akhirnya ia akan membawa kepada putaran syaitan yang membawa kemusnahan parti secara berterusan bagaikan api di dalam sekam.
Usahlah kita menjadi taksub dalam meraikan demokrasi yang seakan belum pernah kita nikmat ini bagaikan suatu aliran agama dan kepercayaan hinggakan keharmonian dan keampuhan organisasi yang telah dibina dengan pengorbanan yang tidak sedikit ini sanggup kita korbankan.
Selepas PRU-12, ahli baru berduyun-duyun menyertai parti. Ramai tokoh dan pemimpin menyertai parti ini dan ramai juga tokoh baru telah muncul.  Masing membawa falsafah, kepercayaan, budaya dan gaya politik masing-masing.
Sudah pastilah keadaan ini mudah menimbulkan banyak konflik. Sudah ada tanda-tanda wujudnya persaingan di antara kelompok, kenegerian dan kaum.  Lebih membimbangkan sudah ada tanda memutik persaingan antara agama. Jika dibiarkan ia akan menjalar dan memarak dalam parti.
Sedangkan, parti akan menghadapi PRU-13 bila-bila masa sahaja dari sekarang.
Kita amat bimbang pengalaman peristiwa pahit pemilihan kepimpinan parti yang silam pasti akan berulang. Ahli parti akan berpecah belah. Imej parti akan runtuh dan kepercayaan rakyat akan pudar. Parti musuh akan menangguh di air keroh.
Ahli-ahli baru menjadi kebingungan.  Pandangan antarabangsa juga akan tercalar.
Memang selepas pemilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh mengumpulkan semula para pemimperi yang bersaing dalam suatu wadah.  Namun, hati yang terluka tidak akan mudah sembuh.
Seperti apa yang dilihat kini, mereka bersatu dan bersama bukan kerana prinsip, tetapi lebih kepada kebudian dan hormat kepada Datuk Seri Anwar sebagai Ketua Umum.   Andai Datuk Seri Anwar tidak lagi di depan mata, tidak menjamin mereka dapat bekerjasama sebagai satu pasukan.
Pengalaman seperti ini telah menyebabkan Parti kalah teruk dalam PRU-11.  Parti hampir pupus dan lenyap kiranya kita gagal mengekalkan Permatang Pauh.  Jika kita tidak berhati-hati, krisis yang sama akan berulang dan peluang menguasai Putrajaya di PRU-13 akan tergugat.
Justeru, sekiranya kita benar-benar merasa kasih akan parti ini, perlu diwujudkan satu Majlis Muafakat Kepimpinan yang terdiri dari individu yang tidak berkepentingan yang dapat menjalankan peranan mereka secara berkesan untuk menjamin kekukuhan parti dalam melalui proses pemilihan ini.
Ahli-ahlinya hendaklah terdiri dari barisan kepimpinan parti yang senior yang dihormati dan berpengaruh yang telah banyak berjaya mendiri dan mengukuhkan parti ini sejak penubuhannya pada tahun 1999.
Majlis ini hendaklah diberikan kepercayaan mengusahakan pelbagai alternatif kemuafakatan untuk dipertimbangkan oleh semua pihak.  Metodologi utama yang dimanfaatkan adalah melalui kaedah berunding mencari penyelesaian dengan memberi kemenangan semua pihak.
Amalan-amalan seperti ini banyak dilakukan Nabi Muhammad SAW sejak sebelum kerasulannya lagi. Baginda menyelesaikan konflik antara ketua-ketua suku kaum di Makkah mengenai siapakah yang paling layak mengangkat batu hajar aswad untuk diletakkan dipenjuru ka’bah.
Baginda menyelesaikannya dengan membentangkan serbannya, meletakkan batu itu ditengahnya dan meminta kesemua ketua suku kaum bersama memegang tepian kain serban itu dan bersama mengangkat batu hitam yang dipertikaikan bersama-sama.
Akhirnya Muhammad SAW sendiri yang meletakkan batu hitam tersebut ke tempat yang dilihat seperti hari ini.
Disaat kewafatan Rasulullah SAW, para sahabat yang terpilih dan berpengaruh berkumpul berunding sesama mereka memilih pemimpin sebagai pengganti Muhammad SAW melalui muafakat.  Begitu juga dengan pemilihan Umar, Usman dan Ali.   Ia nyata membawa kemantapan luar biasa kepada masyarakat Islam di awal zamannya.  
Sekiranya kita dapat membantu parti ini melalui proses pemilihan barisan kepimpinan parti secara muafakat yang berkesan, ia akan menjadi yang budaya ikutan ahli-ahli di semua peringkat kepimpinan.  
Parti ini juga akan dihormati oleh rakan-rakan parti lain di dalam Pakatan Rakyat dan seterusnya sudah pasti ia akan melonjakkan kepercayaan dan penghormatan rakyat Malaysia dalam mengamanahkan kuasa ke Putrajaya di PRU-13 akan datang.
Pepatah Melayu mengaturkan cara penyelesaian konflik, bagai menarik rambut dalam tepung, tepung jangan berselerak dan rambut jangan putus.
 Marilah kita bersama memperkasa parti ini sebagai wadah penyelamat bangsa Malaysia pada depan dengan semangat: Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakatnya.

No comments:

Post a Comment