Monday, September 13, 2010

Siri 1 : Pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Keadilan Rakyat (Keadilan)

Oleh: Amin Ahmad
Kehangatan kempen pemilihan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) kini kian terasa. Ada sebilangan teman berhubung bertanyakan pandangan saya tentangnya. Sebagai ‘orang di luar’ struktur parti, tentulah saya tidak begitu arif dengan ‘sepak-terajang’ dalam Keadilan. Namun, ramai tahu bahawa saya simpatisan reformasi, jika boleh disebut begitu.
Ternampak dua jawatan penting – Timbalan Presiden dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) – menjadi rebutan beberapa orang calon. Saya tidak berminat untuk mengulas pemilihan Timbalan Presiden, tetapi teruja berkongsi pandangan tentang pemilihan Ketua AMK. Jawatan ini tentulah penting kerana ia adalah ‘kepala’ kepada satu sayap parti yang sinonim dengan sifat lazim anak muda – tinggi idealisme, agresif, aktif, bertenaga dan berani.
Pada detik penubuhan Keadilan, ia cukup menggugat. Ya, sudah tentu ramai terpaksa menelan kepahitan fakta bahawa ianya pernah dipimpin saudara Ezam Mohd Nor yang kini menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sebelum dilantik menjadi Senator di Dewan Negara. Bukan sahaja itu, beliau juga lantang mengkritik Keadilan serta tokoh-tokoh utamanya di samping menganggap keikhlasan dirinya sudah teruji dek pemenjaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Pasca Ezam, AMK (pada zaman Ezam dikenal sebagai Pemuda Keadilan) dilihat lemah dan tidak bermaya. Ia dilihat signifikan dengan kemerosotan prestasi parti Keadilan, sebuah parti rentas kaum dan agama yang cuba memacu semangat reformasi ketika itu. Banyak pendapat dan analisa boleh dibuat berkaitan hal tersebut. Akhbar parti, Suara Keadilan yang dipimpin oleh saudara Khalid Jaafar juga turut mengesahkan pandangan ini bersandarkan kaji-selidik persepsi umum mereka pada waktu itu. Ia sedikit sebanyak mencetuskan pergolakan tersendiri di dalamnya.
Setakat ini, terdengar jawatan ini akan ditandingi empat penjuru. Ia terdiri daripada penyandang jawatan tersebut sebelum pemergian Ezam, saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin, aktivis reformasi yang juga rapat dengan Ezam melalui Gerakan Anti-Rasuah dan Demokrasi (GERAK), saudara Badrul Hisham Shaharin, penggiat budaya yang juga Ketua Cabang Keadilan Parit Sulong, Hasmi Hashim. Beliau juga pernah bertanding merebut jawatan ini dalam pemilihan lalu. Terakhir, mantan EXCO Pemuda Keadilan yang menyelaras Keadilan Antarabangsa Eropah (KAE), saudara Rafizi Ramli.
Saya mempunyai pengalaman terhad bertemu dengan keempat-empat mereka serta bertukar fikiran serta belajar banyak perkara sepanjang mengenali mereka. Untuk saya, masing-masing mempunyai merit tersendiri dalam perjuangan reformasi. Oleh itu, saya berhajat menulis beberapa siri penulisan sempena pemilihan Ketua AMK kali ini. Pertama, pengenalan terhad saya dengan calon-calon tersebut.
Kedua, apa yang saya fikir tentang pemilihan Ketua AMK kali ini. Ia mungkin berguna untuk membantu para ahli Keadilan membuat keputusan. Ia juga mungkin tidak berguna kerana saya bukan ahli parti, justeru tidak memahami pergolakan dalaman parti serta terhad pengenalan saya dengan mereka. Jujurnya, sebahagian daripada sebab menulis ini adalah berpunca daripada persekitaran kempen yang saya lihat tidak positif.
Seingat saya, antara semua calon tersebut, Hasmi Hashim adalah orang yang paling awal dikenali.
Ketika itu saya baru berusia 19 tahun, tahun kedua di kampus. Masih saya ingat lukisan besar beliau di dinding ruang sewa di Bangsar, lokasi bertempatnya Universiti Bangsar Utama (UBU) dengan slogan – ‘Universiti Bukan Universiti’. “Lukisan ni aku buat sebab masa tu gigi aku sakit” kata lulusan Universiti Teknologi MARA ini. Saya masih ingat, waktu itu bahkan hingga kini, beliau banyak memberi tumpuan pada aspek seni-sastera-budaya: teater, penulisan, sajak dan sebagainya.
Beliau memilih untuk bertarung dengan kesakitan hidup sebagai graduan muda untuk menjaga kebebasan beliau. Saya akan selalu ingat pesan beliau: “membaca dan berfikir adalah dua perkara berbeza!”. Jujur, saya menyukai cara beliau berekspresi. Selain semua itu, beliau juga pernah dijemput sebagai panelis, jurucakap dan moderator untuk slot seminar dan forum awam. Sebagai budayawan, beliau tidak segan duduk se-forum dengan Ustaz Uthman El-Muhammady bagi mengetengahkan sudut pandang lain dalam isu hangat “karikartur ‘Muhammad’”.
Saya pernah dijemput beliau menyampaikan pidato kedamaian tatkala berlaku krisis pembakaran rumah sembahyang rentetan krisis penggunaan nama Allah s.w.t.. Pidato ini telah dianjur melalui medium Republik Anak Muda (RAM), sebuah perkumpulan anak muda yang cuba menghidupkan wacana baru dalam masyarakat Malaysia. Saya juga pernah menjadi moderator forum yang menempatkan beliau dengan Profesor Dr. Nik Safiah untuk membincangkan persoalan bahasa-budaya.
Saya tidak begitu mengambil tahu tentang pemilihan Ketua AMK yang lepas. Namun, saya menghargai keputusan Hasmi untuk bertanding. Umumnya, mungkin ramai di kalangan masyarakat, bahkan mungkin ahli parti yang tidak begitu mengenalinya. Paling tidak, Hasmi sudah memulakan langkah memperkenalkan diri untuk pertarungan sebenar iaitu pemilihan kali ini. Saya tidak tahu apa yang berlaku, namun tulisan beliau yang boleh dibaca – Penulis di Pentas Kongres (boleh dilawati di http://jalantelawi.com/2010/01/penulis-di-pentas-kongres/) cukup pilu untuk dibayangkan berlaku dalam parti, lebih lagi di kalangan anak muda yang mendakwa pembawa obor “Harapan Baru Malaysia”.
Saya amat bersimpati jika ia benar-benar dihadapkan kepada saudara Hasmi. Untuk saya, ‘pembunuhan personaliti’ (character assassination) atau mungkin lebih dikenali dengan serangan peribadi jenis ini. Ia jelas satu penghinaan kepada kemuliaan insan dan menolak semangat penghargaan kepada kepelbagaian.
Sudah tentu, saya tidak menjangkakan Keadilan akan menjadi sebuah parti yang suci daripada kemungkinan ruang kesempatan disalah-guna oleh mana-mana pihak. Namun, wajib dibezakan, pada hemat saya, ialah kesempitan ruang toleransi untuk hal-hal ketempangan sistem berpunca daripada sikap manusia. Memang, kita harus berani mengakui, sistem apa pun yang diusulkan, waima atas nama agama, bangsa, negara, rakyat, Tuhan dan manusia sekalipun, ia tetap memerlukan manusia untuk menggerakkannya.
Dalam kata lain, tidak cukup kita mempunyai idea baik. Bahkan, antara kritikan besar dihalakan kepada Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN), waima dari kalangan pendokong mereka sendiri ialah persoalan mekanisme penyampaian.
Ia tidak terhenti di situ. Banyak persoalan yang boleh dimunculkan daripadanya untuk tindakan penyelesaian. Namun saya hentikan di sini untuk sambungannya nanti, insyaAllah.

Amin Ahmad, 28 ialah anak muda Malaysia yang minat memerhati perkembangan politik Malaysia.

No comments:

Post a Comment