Monday, September 13, 2010

Syed Husin Tidak Pertahan Jawatan, Sokong Gandingan Anwar-Wan Azizah

Oleh Dzulkarnain Taib
PETALING JAYA 14 Sept - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Senator Dr Syed Husin Ali berkata beliau menyokong cadangan sesetengah anggota parti yang mahu melihat gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Presiden.
Pada masa yang sama beliau juga mengumumkan keputusan tidak akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada Pemilihan Parti 2010 November depan.
"Saya suka melihat gandingan Anwar dan Wan Azizah dan pada hakikatnya gandingan ini sudah pun wujud sekian lama secara tidak rasmi. Tetapi tidak semestinya apa yang saya suka akan berlaku.
"Saya melihat gandimngan Anwar dan Wan Azizah akan mengurangkan persengkataan dalam parti terutamanya berhubung perebutan jawatan Timbalan Presiden. Jika parti lebih bersatu dan mantap maka ia akan lebih bersedia dan kuat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
"Gandingan ini juga akan memberi gambaran jelas kepada ahli parti mengenai isu pengganti kepada Anwar sekiranya apa-apa terjadi kepada beliau (berhubung perbicaraan Fitnah II)," kata Dr Syed Husin pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel berhampiran ibu pejabat KEADILAN di Tropicana pagi tadi.
Berhubung keputusannya tidak mahu bertanding, Dr Syed Husin berkata perkara itu telah lama dibayangkan kepada pucuk pimpinan parti setelah memegang jawatan itu sejak 2003.
"Sebenarnya saya ingin mahu melihat orang yang lebih muda dan aktif menggantikan saya, walaupun dalam umur 74 tahun minggu depan, insyaAllah, saya terkadang mrasa belum tua lagi. saya ingin menumpukan lebih banyak masa kepada menulis. Selain isteri, anak dan cucu ini merupakan cinta utama saya.
"Sudah lama saya membayangkan hasrat mahu mengundur diri daripada jawatan Timbalan Presiden bila sampai waktunya. Saya telah berbincang dengan keluarga, beberapa orang pemimpin Parti dan juga sahabat rapat. Kini saya mengambil keputusan tidak akan bertanding," kata beliau ketika membaca kenyataannya kepada media.
Dr Syed Husin yang menceburi duni politik sejak 1958 melalui Parti Rakyat Malaysia kini sedang menyiapkan tiga buah buku berhubung pengalaman beliau dalam politik.
Keputusan beliau itu membuka laluan kepada pertandingan antara Naib Presiden, Azmin Ali dan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim.
Beliau membayang kualiti yang perlu ada kepada pengantinya, termasuk "menghormati disiplin organisasi Parti, susah teruji merentas duri dan ranjau perjuangan, bergerak secara pemain berpasukan, menentang amalan korupsi dalam segala bentuk dan mendokong nilai akhlak yang tinggi".
Dr Syed Husin bagaimanapun berkata pertandingan bagi jawatan yang ditinggalkannya mungkin memperlihatkan lebih daripada dua calon tanpa memberi penjelasan lanjut.
"Saya rasa ramai yng layak bertanding jawatan Timbalan Presiden tetapi mereka yang layak ini tidak pula mahu bertanding," kata beliau.
Ditanya samada beliau akan dilantik sebagai Penasihat KEADILAN, Dr Syed Husin berkata jika ini berkalu keputusan hendaklah dibuat oleh pimpinan parti dan bukan dari seorang individu sahaja.
Beliau berkata parti kini bertambah kuat dan mempunyau pimpinan yang lebih mantap.
"Dahulu ketika beberapa ahli parlimen KEADILAN lompat parti banyak pihak yang kata kita akan hancur tapi lihat sekarang asas keanggotaan dan dasar parti bertambah mantap.
"Parti sudah kuat sehingga pimpinan berani membuat perubahan perlembagaan untuk melaksanakan konsep satu undi satu ahli. Saya yakin KEADILAN adalah satu-satunya parti dalam dunia yang mengamalkan cara ini," ujar beliau lagi.
Beliau berkata selain menulis beliau akan tetap aktif dalam politik.

No comments:

Post a Comment