Wednesday, September 15, 2010

Zaid Nafi Ditaja Oleh Soh Chee Wen...Mungkin bertanding sebagai Presiden..??

Ahli Majlis Tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim menafikan tanggapan ramai bahawa beliau ditaja oleh ahli perniagaan Datuk Soh Chee Wen dalam cubaannya untuk menjadi Timbalan Presiden Parti dan mendakwa jawatan yang dikejarnya itu tidak signifikan.

“Adakah benar saya ditaja oleh ahli perniagaan Datuk Soh Chee Wen untuk menghancurkan parti? Itukah cara kempen setakat ini? Bahawa saya ini pengkhianat dan saya orang baru?", kata Zaid dalam blognya.

Bekas ketua bahagian UMNO dan Menteri Undang- undang itu kini sedang mencari pencalonan yang secukupnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, namun menghadapi saingan sengit daripada Naib Presiden Azmin Ali.
Penyokong- penyokong Zaid menyebarkan dakwaan kononnya Azmin mendapat dokongan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan Timbalan Presiden.
Semalam, Anwar berkata tidak timbul soal beliau merestui sesiapa untuk bertanding apa jua jawatan, malah beliau sendiri akan bersikap berkecuali dan tidak menerima sebarang pencalonan untuk bertanding pada pemilihan parti.
Reaksi Anwar itu susulan cadangan beberapa pihak yang mahukan beliau dan Datuk Seri Wan Azizah Ismail menerajui parti itu sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.
Anwar adalah Ketua Umum PKR yang bukan merupakan jawatan tetap dalam pelembagaan parti tetapi lebih mirip sebagai penasihat.
Anwar dikatakan lebih cenderung memainkan peranan itu supaya tidak terikat dengan perjalanan harian parti dan sebaliknya memberi tumpuan lebih besar kepada menggerakkan Pakatan Rakyat sebagai gagasan berwibawa untuk mengambil alih Putrajaya.
Zaid berkata jawatan timbalan presiden, malah presiden parti tidak signifikan kerana kuasa sebenar terletak dengan Ketua Umum.
“Lagipun jawatan timbalan presiden (PKR) itu sebenarnya tidak ada kuasa. Nombor dua dalam politik Malaysia ini hanya untuk glamour dan nama saja, tidak ada banyak kuasa sangat,’ kata Zaid.
“Apa lagi dalam PKR, nombor satu pun tak ada kuasa seperti ketua umum, jawatan yang tidak boleh ditandingi,” tambah Zaid.
Zaid bagaimanapun tidak menjelaskan dalam blognya kenapa beliau tetap mahu merebut jawatan itu jika beranggapan ia tidak penting.  
Zaid juga mempertahankan Soh Chee Wen, seorang jutawan dan bekas pemimpin MCA yang dikatakan menjadi orang kuat di sebalik kempen Zaid. 
Zaid berkata Soh dilantik menjadi anggota biro politik oleh Anwar dan telah banyak berjasa kepada PKR.
Menurut sumber-sumber, Soh adalah orang yang membiayai portal berita Free Malaysia Today yang dilihat begitu kritikal terhadap PKR sejak beberapa bulan lalu, khususnya berhubung Anwar, Azmin dan beberapa pemimpin lain.
Beberapa keputusan parti itu juga dibidas oleh FMT yang umumnya dilihat mendokong Zaid untuk jawatan timbalan presiden PKR.
Menurut Zaid, beliau menawarkan diri sebagai calon hanya jika ahli PKR mahu alternatif dalam membuat perhitungan.

No comments:

Post a Comment