Thursday, September 2, 2010

. Awas Min…Zaid dah palu ‘gendang perang’



Oleh: ROSLAN BIAN

Antara Datuk Zaid Ibrahim dan Azmin Ali…siapa agaknya yang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sokong? Ini soalan cepumas kerana keduanya sudah bertakhta disanubarinya.

Azmin memang dah lama orang kanan Penasihat PKR itu.Satu dunia tahu.Bagaimana pula Zaid yang dalam sekejap masuk PKR sudah dilihat duduk di barisan depan parti.Orangnya pula ada berguni duit.

Teka teki ini bukanlah untuk geletek Anwar yang tengah pening menghadapi perbicaraan kes liwat Saiful Bukhari Azlan.

Siapa yang tak bercakap bab ini memang kayu sangat dalam bab politik bila Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu tiba-tiba palu ‘ gendang perang’ nak bertanding sesuatu jawatan dalam pemilihan PKR tidak lama lagi.

Jangan lupa Zaid sebelum ini berdegar-degar kata tidak mahu bertanding apa-apa jawatan.

Namun sebagai orang politik, peguam yang kaya raya ini pandai juga berlapik cakap.

Katanya dalam laman blognya beliau hanya akan bertanding jika Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tak masuk.

Beliau juga memuji Khalid sebagai orang yang tidak suka mengata dan lebih tumpu kerja.

Agendadaily difahamkan dari riak angin yang bertiup bekas tokoh koprat ini besar kemungkinan tidak bertanding.

Menteri Besar itu dilihat kurang umphhh dan tidak ada karisma untuk pergi jauh dalam hirarki politik.

Malah ikut ceritanya beliau besar kemungkinan tidak bertanding lagi dalam pilihanraya umum akan datang.

Mungkinkah Zaid sudah menghidunya?

Apapun dengan siapa agaknya Zaid bakal berentap.

Tak kan kot jawatan Ahli Majlis Pimpinan (MPT) biasa.

Walaupun Zaid tidak menyebut apa jawatannya... sumber-sumber PKR kata mereka berani kerat jari sasarannya ialah Azmin Ali yang diketahui sedang mengintai jawatan Timbalan Presiden PKR.

Penjawat jawatan nombor dua itu Senator Dr Syed Husein Ali dikatakan tidak akan mempertahankan jawatan berkenaan kali ini.

Ada yang kata jika pertembungan Azmin-Zaid menjadi kenyataan keadaannya pasti merumitkan Anwar.

Soalnya ada yang meragui kemampuan Azmin ‘ yang nampak muda belia’ boleh grip PKR jika katakan Anwar kena dalam kes liwat yang sedang dalam perbicaraan.

Ada pemerhati yang lebih yakin Zaid dapat main peranan itu.

Namun sebagai orang lama dalam PKR tiada siapa boleh perkecil jaringan Azmin yang sudah berakar dalam parti itu.

Sebenarnya kemungkinan Zaid masuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR sudah lama dijangka sekalipun beliau main ‘sorok-sorok’.

Zaid dikatakan tahu jika Khalid turut masuk bertanding jawatan nombor dua itu kedua-dua mereka pasti ‘terkangkang’ diratah Azmin kerana pecah undi.

Maka tidak hairan beliau memberi alasan hanya akan bertanding ‘ sesuatu jawatan’ jika Menteri Besar Selangor itu tidak bertanding.

Namun pekara yang dianggap menarik ialah sebab yang diberikan oleh Zaid mengapa beliau korner baring nak bertanding pula.

Beliau memberitahu apa yang mendorongnya ialah bila ada orang - dipercayai dalam PKR sendiri - yang mengata antaranya beliau akan mengkhianati orang Melayu dan suka cari publisiti murahan bagi menarik perhatian bukan Melayu, boleh jejaskan matlamat Anwar.

Ini yang buat Zaid geram.Katanya dari kena serang buta lebih baik beliau masuk gelanggang.

Soalnya siapa yang dok galak menyerang untuk membunuh karektor Zaid? Beliau tidak menyebutnya.Ini juga boleh jadi soalan cepumas.

Politik dan kuasa tidak pernah ada tanda titik.Tak kira UMNO ke,PAS ke atau PKR bila masuk bab berebut jawatan dalam parti gigi boleh bertukar jadi taring.

Apa lagi ramai yang dok tengah miang nak ke Putrajaya.
AD.

No comments:

Post a Comment