Senator Dr  Syed Husin Ali dijangka menjernihkan persoalan mengenai persaingan  jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi ini —  dijangka kekal dengan pendirian tidak mempertahankan kedudukannya —  keputusan yang dijangka menjadi penentu ‘kehangatan’ saingan kerusi  nombor dua itu.
"Saya  sudah membuat keputusan,jika tidak saya tidak akan memanggil sidang  akhbar,” kata Syed Husin tetapi enggan menyatakan sama ada beliau sudah  berkongsi keputusannya dengan pucuk kepimpinan.
“Soalan itu boleh ditanya esok (pada sidang media hari ini),” kata beliau.
Difahamkan pucuk kepimpinan parti sudah menerima pendirian beliau yang tidak mahu mempertahankan kedudukannya kali ini.
Sebelum ini Syed Husin pernah memberitahu The Malaysian Insider  bahawa beliau akan berbincang dengan pucuk kepimpinan — Datuk Seri  Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masing-masing  penasihat dan presiden parti sebelum mengumumkan keputusannya kepada  umum.
“Jika pucuk kepimpinan terima, saya akan melepaskan jawatan ini,” kata Syed Husin dalam pertemuan awal tahun ini.
Syed Husin dijadual mengadakan sidang media di sebuah hotel, beberapa pintu dari ibu pejabat PKR.
Beberapa pihak berkongsi mesej Twitter sebab Syed Husin memanggil sidang media untuk mengumumkan pendiriannya.
Mesej-mesej  itu menyebut, keputusan memanggil sidang media mencetuskan kemusykilan  bahawa beliau akan mengumumkan akan bertanding semula untuk mengekalkan  jawatannya.
Bagaimanapun ada yang berpandangan bahawa beliau mahu mengumumkan secara rasmi dan terbuka menerusi sidang media.
Malah  selaku timbalan presiden, sekiranya beliau tidak mahu bertanding ada  yang bertanya mengapa perlu mengadakannya sidang media di hotel  berkenaan.
Beberapa  pemimpin yang dihubungi berkata mengambil kira prinsip Syed Husin,  beliau akan mematuhi peraturan parti iaitu keputusan terbaru pemilihan  menegaskan apa-apa aktiviti kempen pemilihan tidak boleh diadakan di  premis ibu pejabat parti.
Ada  juga pemimpin mengatakan bahawa sekiranya Syed Husin mengumumkan tidak  mempertahankan jawatannya, kemungkinan beliau akan menzahirkan sokongan  kepada calon bagi jawatan-jawatan tertentu.
“Mungkin sebab itu beliau mengadakan sidang media di premis lain sebab tidak wujud salah saham,” katanya lagi.
The Malaysian Insider  juga difahamkan beberapa pihak akan bertemu dengan Anwar dan Syed Husin  petang semalam mengenai pendirian mereka tentang pertandingan pada kali  ini.
Justeru,  ada yang berpendapat bahawa pengumuman Syed Husin hari ini akan menjadi  penentu sama ada Naib Presiden Azmin Ali yang baru-baru ini menerima  sokongan daripada 20 ahli Parlimen dan majoriti ADUN dari Selangor dan  Negeri Sembilan akan bertanding ataupun sebaliknya.
“Azmin Ali mahu menghormati Syed Husin, beliau tidak mahu dilihat bercita tinggi mengejar jawatan,” kata seorang pemimpin lagi.
Kerusi  itu kemungkinan disaingi tiga lagi calon termasuk ahli Majlis Pimpinan  Pusat Datuk Zaid Ibrahim jika Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid  Ibrahim tidak turun gelanggang.
Selain  Azmin dan Zaid, dua lagi pemimpin yang dijangka turun gelanggang ialah  Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub dan Pengerusi Biro Pemahaman dan  Pemantapan Dr Muhd Nur Manuty.
Kesemua 218 cabang PKR akan mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing mula 17 September ini.
Semalam,  kepimpinan PKR Kedah mahu kesemua cabang di negeri itu mencalonkan  Anwar bertanding jawatan presiden pada pemilihan kali ini.
Bagi  jawatan timbalan presiden PKR negeri itu akan membuat pengumuman dalam  sehari dua ini khususnya selepas Syed Husin mengumumkan pendiriannya  hari ini.
Minggu  lalu Majlis Muafakat Kepemimpinan PKR Selangor mengesyorkan agar Anwar  dan Wan Azizah bertanding jawatan timbalan presiden ataupun mengekalkan  status quo semasa.

 
No comments:
Post a Comment